Mengapa Mahathir mahu hidupkan kembali mayat mumia yang sudah mati?

Mengapa Mahathir mahu hidupkan kembali mayat mumia yang sudah mati?

oleh Nik Aziz Afiq

Kita dikejutkan dengan pengumuman Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, baru-baru ini yang mahukan Pengajaran dan Pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikembalikan. Kami merasakan kesal kerana selaku orang yang berpengalaman, nampaknya Mahathir tidak belajar dari sejarah dan bakal mengulangi kesilapan yang sama lagi. Mangsanya nanti adalah pelajar kita terutama pelajar sekolah luar bandar.

Tidak dinafikan bahawa ada terdapat kebaikan dalam pelaksanaan PPSMI, tetapi kita juga harus melihat implikasi buruk yang bakal dihadapi. Ia tidak sukar untuk diagak kerana kita pernah mengalaminya sendiri sebelum ini dan akhirnya memansuhkannya pada tahun 2009. Mengapa mayat yang sudah dikuburkan mahu dihidupkan semula?

Lupakah Tun pada tahun 2007, dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College di Amerika Syarikat, menunjukkan Malaysia mengalami kemerosotan mata paling signifikan dalam kalangan 59 buah negara yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut?

Kajian 2007 tersebut yang membandingkan dengan data tahun 2003, menunjukkan kemerosotan ketara dalam kalangan pelajar untuk penguasaan subjek Sains Matematik sejak PPSMI diperkenalkan. Kita jatuh 34 skor mata untuk penguasaan Matematik dan penurunan kepada 40 mata bagi matapelajaran Sains.

Kami mendesak sebelum apa-apa dasar berkenaan pendidikan hendak dilaksanakan, ia mestilah dilakukan kajian terperinci terlebih dahulu dengan mendengar pandangan pelbagai pihak, terutama kesatuan guru-guru yang akan terlibat terus sebagai pelaksana dasar ini.

Tindakan tergopoh-gapah pihak kerajaan pada tahun 2002 dulu telah memangsakan pelajar generasi tersebut, maka apakah kerajaan mahu bereksperimen lagi dengan halatuju dan nasib pelajar masa kini?

Pihak kementerian harus mencari fomula lain dalam meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, PPSMI bukanlah formula tersebut. Ia telah diuji dan telah ternyata gagal.

Tidak perlu khuatir pelajar akan keliru kerana Sains Matematik ini datang dari Bahasa Inggeris dan bukan bahasa asal tempatan. Ini ditegaskan lagi melalui kajian UNESCO lama dahulu pada tahun 1958, bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda lebih berkesan.

Kami mendesak pelaksanaan ini tidak diteruskan dan pihak kerajaan wajib membuat penilaian semula terhadap langkah ini. Jangan pisang berbuah dua kali. Akhirnya kami berharap ini bukanlah satu tindakan untuk sekadar puaskan hati atau ego PM dan akhirnya nanti akan mengambil langkah U-turn semula selepas peralihan kuasa.

==========

Nik Aziz Afiq Bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia.