Teguh bersolidariti bukan mendiskriminasi

Teguh bersolidariti bukan mendiskriminasi

(Daripada Sosialis.Net)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang menghakimi Seksyen 28 di bawah Enakmen Syariah Negeri Selangor berkenaan kesalahan melakukan persetubuhan di luar tabii adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 28 telah digunakan sebagai satu alat yang menindas dan untuk menjenayahkan orientasi seksual komuniti LGBT di Malaysia oleh pihak kerajaan negeri.

PSM bangga dengan perjuangan komuniti LGBT Malaysia dalam mendapatkan hak asasi mereka untuk tidak dihukum hanyalah kerana perbezaan seksualiti dan gender. Perjuangan komuniti LGBT sekaligus akan memastikan wujudnya kesaksamaan hak asasi, keadilan dan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia yang sepatutnya hidup di dalam negara yang merdeka.

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut telah mengingatkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kita, untuk menghentikan penjenayahan dan menghapuskan diskriminasi terhadap masyarakat LGBT. PSM ingin mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berperlembagaan, dan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai orang yang berbagai budaya, agama, seksualiti dan jantina.

Apa-apa tindakan atau undang-undang yang sedia ada tidak boleh mendiskriminasi ataupun menindas sesiapapun. Undang-undang tidak kira Syariah ataupun Sivil perlulah melindungi hak ekpresi orientasi seksual. Perjuangan komuniti LGBT di Malaysia untuk kesaksamaan hak asasi dan penerimaan masih jauh, namun sokongan PSM tetap teguh dan kami akan terus bersolidariti bersama komuniti LGBT.

Biro Gender
Parti Sosialis Malaysia

Jangan tunggu lagi, bertindak sekarang juga

Jangan tunggu lagi, bertindak sekarang juga

(Kenyataan PSM bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2021)
oleh Chong Yee Shan

Sudah pun setahun sejak Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan. Di bawah pentadbiran PN, kita menyaksikan beberapa kementerian gagal dalam menyediakan dasar-dasar yang bersesuaian dan penguatkuasaan undang-undang dalam banyak isu, khususnya berkaitan dengan gender. Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyeru, “Jangan tunggu lagi, bertindak sekarang juga!”

PSM mengemukakan cadangan-cadangan yang berikut:

Gubal Akta Gangguan Seksual

Dengan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat mengenai gangguan seksual, sama ada secara lisan, visual, fizikal ataupun dikomunikasikan melalui penulisan atau secara elektronik, undang-undang dan dasar-dasar yang wujud sekarang ini untuk melindungi wanita dan golongan minoriti seksual adalah tidak mencukupi. Peruntukan undang-undang mengenai gangguan seksual yang sedia ada, seperti yang terkandung dalam Akta Pekerjaan, tidak dikuatkuasakan dengan baik dan gagal mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk wanita dan golongan minoriti yang lain. Oleh itu, adalah penting untuk menyediakan latihan yang lebih sensitif-gender bagi semua pihak berkuasa, pihak berkepentingan dan pengamal perubatan supaya memastikan penguatkuasaan yang tegas dengan mensasarkan sistem patriarki dan kesannya ke atas kedua-dua lelaki dan wanita. Hakikat mengenai pemeliharaan kekuasaan dan keistimewaan oleh kumpulan dominan perlu diketengahkan supaya wujudnya kerjasama antara kuasa-kuasa untuk menghapuskan sistem yang membiak ketidaksamarataan gender. Akta Gangguan Seksual adalah diperlukan untuk melindungi semua gender dan minoriti seksual di samping memastikan kebertanggungjawaban pihak-pihak yang berkenaan.

Hapuskan perkahwinan kanak-kanak

Kajian menunjukkan bahawa perkahwinan kanak-kanak berkaitan rapat dengan kemiskinan dan paling biasa berlaku di negara-negara termiskin di dunia. Walaupun negara Malaysia merupakan sebuah negara sedang membangun, kewujudan perkahwinan kanak-kanak menunjukkan kekurangan perhatian yang diberikan kepada kesan status sosio-ekonomi yang rendah terhadap isu-isu sosial. Kekurangan pendidikan seks, kekurangan kesedaran kanak-kanak dalam memberi persetujuan dan tanggapan tertentu dalam sesuatu sistem kebudayaan, merupakan sebahagian daripada contoh yang menyebabkan isu perkahwinan kanak-kanak masih wujud dan tertanam kuat dalam jurang perbezaan tahap sosio-ekonomi yang lebar. Apabila sumber kewangan adalah terhad dalam sesebuah keluarga, perkahwinan kanak-kanak dianggap sebagai satu cara untuk anak perempuan dijaga oleh sebuah keluarga yang lain. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa perempuan yang berkahwin muda adalah lebih cenderung menjadi miskin dan kekal berstatus rendah, khususnya apabila terpaksa mengekalkan peranan gender yang tradisional. Negara Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), yang bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan kanak-kanak perempuan daripada perkahwinan kanak-kanak. Kerajaan harus membangunkan dasar-dasar di Malaysia untuk mematuhi garis panduan CEDAW dan CRC.

Pendapatan Asas Sejagat (UBI)

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada ramai wanita B40, khususnya ibu-ibu tunggal yang merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Kekurangan sokongan kerajaan ditunjukkan dalam kisah-kisah ramai orang yang menghadapi kesusahan kerana kehilangan punca pendapatan.

Kerajaan PN telah membelanjakan wang dalam usaha untuk merangsang ekonomi. Namun, masih kurangnya perhatian kepada golongan yang terkesan teruk secara ekonomi. Isu ini dapat ditangani dengan respon kerajaan yang menyediakan skim Pendapatan Asas Sejagat (UBI) yang diubahsuai kepada sesiapa yang tidak mempunyai punca pendapatan pada masa kini. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap orang di dalam negara kita dapat memperoleh makanan asas dan semua keperluan asas. Wanita dan kanak-kanak perempuan juga harus dilibatkan dalam sebarang proses membuat keputusan berkenaan dengan semua dasar ekonomi pada masa hadapan. Dalam jangka masa panjang, kerajaan harus membawa perubahan transformatif berkenaan dengan kerja penjagaan, berbayar dan tanpa bayaran. Tambahan pula, kerajaan harus memberi tumpuan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan semasa menangani kesan sosio-ekonomi dengan lensa gender supaya golongan wanita dapat mencapai kesamarataan dan perlindungan sosial yang lebih besar.

Hak asasi manusia bagi golongan LGBTQI

Diskriminasi, pencabulan dan pemburuan sihir terhadap golongan LGBTQI sudah menjadi semakin serius di Malaysia. Pendirian kerajaan yang anti-LGBTQI ditunjukkan dalam tindakan ahli-ahli politik mengkambinghitamkan golongan LGBTQI, kerajaan yang nampaknya longgar membiarkan kumpulan-kumpulan konservatif untuk terus menggunakan bahasa dan tindakan yang anti-LGBTQI, secara langsungnya menyebabkan peningkatan dalam pencabulan dan pengucapan kebencian terhadap golongan LGBTQI.

Dalam setahun yang lepas, pemburuan sihir terhadap komuniti LGBTQI daripada beberapa pelaku dan pihak berkuasa telah meningkat. Komuniti LGBTQI hidup dalam ketakutan, dan mereka terbiar dalam situasi yang sangat terdedah kepada ancaman. Kerajaan harus menjadi teladan, dengan menghentikan segala bentuk pengucapan kebencian dan tindakan yang mensasarkan golongan LGBTQI, di samping segera mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi sesiapa yang diancam.

Sudah terlalu lama wanita diabaikan, dan mereka yang berkuasa, yang kebanyakannya golongan lelaki, enggan melihat isu-isu dengan menggunakan lensa gender. Kami berharap bahawa perjuangan wanita untuk kesamarataan telah mencetuskan kesedaran rakyat untuk membina sebuah gerakan menuju kesamarataan gender yang lebih besar dan menghentikan stereotaip gender, seksisme serta sistem patriarki. Kita harus berjuang untuk memadamkan peranan gender tradisional daripada pandangan kerajaan negara terhadap masyarakat. Ini bukan lagi abad ke-18 untuk golongan lelaki menikmati “keistimewaan” patriarki. Ini masanya untuk berkongsi secara bersama tanggungjawab penjagaan anak dan keluarga.

==========

Chong Yee Shan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Gender PSM.

Konvoi kereta PSM sempena Hari Wanita Antarabangsa
Jangan tunggu lagi, bertindak sekarang juga!
Kenyataan Bersama: Solidariti bersama 1,086 #Demi1086

Kenyataan Bersama: Solidariti bersama 1,086 #Demi1086

 

1,086 kasut dan selipar. Banyak compang-camping dan koyak

Mewakili 1,086 orang Myanmar yang dicekup jauh dari kehidupan yang mereka bina untuk diri mereka di Malaysia.

ChallengerMalaysia, MISI: Solidariti, Pemuda Sosialis dengan sokongan pelbagai NGO lain bersolidariti dengan 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang ke Myanmar pada 23 Februari 2021, dan secara tegas mengutuk tindakan Jabatan Imigresen Malaysia atas tindakan tersebut. Penghantaran ini tetap diteruskan walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan penangguhan pelaksanaan bagi penghantaran warga-warga Myanmar pada pagi 23hb tersebut. Perbuatan ini juga tidak selari dengan prinsip non-refoulement dalam undang-undang antarabangsa.

Pada hari ini, 5 Mac 2021, organisasi yang disenaraikan di atas telah berkumpul di sini di Tasik Taman Jaya untuk meletakkan 1,086 pasang kasut ini bagi menggambarkan betapa ramai orang – lelaki, wanita, dan juga kanak-kanak di kalangan mereka seperti dilaporkan oleh Amnesty International Malaysia – mungkin telah dibinasakan oleh kerajaan Malaysia, ramai yang meninggalkan Myanmar dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri dan keluarga mereka.

Semua nyawa ini tidak boleh dikurangkan semata-mata kepada angka, hingga terputus dari realiti, jadi kita mesti melihat ruang yang mereka mungkin berdiri sekiranya mereka di sini. Walau bagaimanapun, ini tidak dapat menangkap imej kemanusiaan individu-individu ini; kasut-kasut ini tidak boleh menggambarkan siapa mereka sebagai seorang manusia: harapan mereka, impian mereka dan aspirasi mereka yang dimiliki oleh semua individu.

Menurut laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat pemohon suaka dalam kumpulan tersebut yang melarikan diri daripada kezaliman dan penindasan oleh kerajaan yang ingin melaksanakan dasar pembersihan etnik di Myanmar – suatu fakta yang dinafikan secara eksplisit oleh Jabatan Imigresen apabila mereka menyatakan bahawa pemohon suaka tidak tergolong dalam 1,086 orang yang dihantar pulang. Namun begitu, pihak berkuasa Malaysia tetap menghantar mereka pulang dalam apa yang hanya boleh digambarkan sebagai tindakan xenofobia yang tidak terkawal.

Dalam semangat memperjuangkan maruah dan hak asasi manusia, kami menyenaraikan empat tuntutan:

  • Tidak berkoperasi dengan kerajaan Tamatdaw
    • Kerajaan Tamatdaw yang mengawal Myanmar kini berada di kerusi kuasa tanpa pilihan yang demokratik dengan menggunakan kekerasan. Kerajaan tersebut mengekalkan kuasa mereka melalui cara autoritarian yang melibatkan keganasan dan membawa maut. Malaysia tidak patut dilihat mengiktiraf kerajaan ini – dalam perjanjian bilateral atau kerjasama dalam sebarang bentuk- yang menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Tamatdaw
  • Akses terbuka ke pusat tahanan imigresen diberikan kepada Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-Bangsa bersatu (UNHCR).
    • Kerajaan mesti membenarkan UNHCR mengakses pusat tahanan imigresen, untuk memastikan golongan yang ditahan yang terdedah secara khusus kerana status mereka sebagai minoriti yang dianiaya dan memberikan mereka perlindungan yang sepatutnya diberi di bawah hak manusia antarabangsa.
  • Moratorium bagi penghantaran pulang, tamatkan penahanan migran yang arbitrari dan tidak menentu.
    • Migran hendaklah dilindungi daripada serbuan tanpa sebab, penangkapan, dan penahanan hanya atas dasar status imigresen mereka. Amalan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah menceroboh hak mereka sebagai individu, serta mengakibatkan mereka untuk hidup sengsara dan menahan penderaan secara fizikal dan/atau lisan.
    • Sebagai lanjutan perkara di atas, kami menegaskan tuntutan agar mahkamah Malaysia memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan, Ketua Pengarah Imigresen Dzaimee Daud, dan Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri atas dasar peranan mereka dalam tindakan hantar pulang ini, semasa perbicaraan yang akan berlangsung pada 9 Mac 2021.
  • Ketelusan penuh daripada Jabatan Imigresen Malaysia
    • Jabatan Imigresen mesti mengeluarkan data mengenai penahanan migran secara awam dan mudah diakses – termasuk tetapi tidak terhad kepada bilangan tahanan, diasingkan oleh jantina, kumpulan umur, dan kewarganegaraan; status pelarian; lokasi tempat di mana tahanan ditahan; tempoh masa tahanan yang dilaksanakan; sebab-sebab pelanjutan tahanan dan sebagainya.
    • Kami juga menuntut penjelasan daripada Jabatan Imigresen mengenai alasan di mana pemindahan migran dijalankan pada 23 Februari melanggar perintah mahkamah; mengapa baki 114 warga Myanmar tidak dihantar pulang, serta status semasa mereka.

Akhir kata, kami yang bersama-sama menandatangani, membangkang tindakan menghantar pulang warga Myanmar, dan menegaskan bahawa jenayah terhadap kemanusiaan ini tidak boleh diabaikan dan dilepas pandang begitu sahaja. Kita tidak boleh mengembalikan 1,086 orang, tetapi kami bertekad dan berazam untuk memastikan sejarah kezaliman ini tidak berulang lagi.

#MigranJugaManusia

Ditandatangani oleh:
Challenger Malaysia
MISI: Solidariti
Pemuda Sosialis
Demokrat Kebangsaan
Suaram
North South Initiative
Parti Sosialis Malaysia
Refuge for the Refugees
Beyond Borders
Tenaganita
Liberasi
Al-Hasan Volunteer Network