Gabungan masyarakat sivil baru dilancarkan untuk menggerakkan pemulihan pilihanraya tempatan

Gabungan masyarakat sivil baru dilancarkan untuk menggerakkan pemulihan pilihanraya tempatan

Source: Sosialis

Gabungan Demokrasi Tempatan (DEKAT) dilancarkan pada 17 Ogos 2019, sebagai inisiatif terbaru masyarakat sivil Malaysia untuk menggerakkan pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan di negara kita. Pelancaran tersebut diadakan dalam satu forum khas bertemakan “Pilihanraya Tempatan: Siapa Untung? Siapa Rugi?” yang turut dihadiri Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jagdeep Singh Deo selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa.

Zuraida Kamaruddin telah menyatakan komitmennya untuk mengembalikan pilihanraya tempatan dalam tempoh 3 tahun. Menurutnya, satu kumpulan kerja teknikal di bawah Kementeriannya akan bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk masyarakat sivil untuk menyediakan cadangan model atau kerangka yang sesuai bagi pilihanraya kerajaan tempatan di Malaysia, dan dijangka akan dibawa kepada kabinet sebelum dibentangkan dalam parlimen dalam tempoh masa 3 tahun.

Zuraida berkata, “Tiada orang akan rugi apabila pilihanraya tempatan dilaksanakan. Walaupun terdapat beberapa isu perlu diatasai, tetapi pilihanraya tempatan memang sesuatu yang boleh dilaksanakan.”

Ketika menjawab persoalan bahawa Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan pendiriannya yang menolak pilihanraya tempatan, Zuraida berkata, “Sebagai seorang Menteri, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk menyakinkan beliau bahawa rakyat kita sudah bersedia untuk pilihanraya tempatan!”

Sementara itu, Kerajaan Pulau Pinang walaupun menyatakan sokongannya yang sepenuh kepada pemulihan pilihanraya tempatan, tetapi telah menendang bola kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengalihkan segala rintangan untuk pelaksanaan pilihanraya tempatan.

Forum “Pilihanraya Tempatan: Siapa Untung? Siapa Rugi?” diadakan oleh Kumpulan Kerja Pilihanraya Tempatan Pulau Pinang (PLCEWAG). Ahli-ahli panel yang membentang idea dalam forum ini termasuk Ehsan Salam (aktivis kumpulan masyarakat Petaling Jaya MyPJ), Dr. Prema Devaraj (Presiden ALIRAN), Thomas Fann (Pengerusi BERSIH 2.0) dan Wong Chin Huat (Penganalisis Politik). Ahli-ahli panel telah menyampaikan pembentangan mereka merangkumi aspek-aspek seperti sejarah, keterangkuman kumpulan masyarakat terpinggir dalam proses demokrasi, keperluan untuk mengembalikan pilihanraya dan sistem pilihanraya yang sesuai dengan situasi di Malaysia.

PLCEWAG yang ditubuhkan sejak bulan April 2019 terdiri daripada individu dan organisasi yang berhasrat untuk meningkatkan tahap penyertaan demokrasi di kalangan rakyat melalui usaha untuk memulihkan demokrasi tempatan melalui undi ketiga. Forum yang diadakan pada 17 Ogoos lalu adalah aktiviti yang pertama daripada siri program yang akan dianjurkan untuk menyokong pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.

PLCEWAG berpandangan bahawa pendidikan dan penyertaan awam adalah sangat penting untuk membantu rakyat memahami hak dan keperluan mereka sebagai pengundi ketiga, dalam proses pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan. Oleh yang demikian, PLCEWG merancang untuk mengadakan beberapa siri program dengan komuniti untuk bersama membincang dan memahami isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat.

Gabungan Demokrasi Tempatan (DEKAT) yang dilancarkan pada 17 Ogos 2019, diasaskan secara bersama oleh kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dari seluruh negara, termasuk Penang Forum, PLCEWAG, Selamatkan Kuala LumpurMyPJPusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan BERSIH 2.0.

PLCEWAG menyeru Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meneruskan usaha memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan kerana ia berkait rapat dengan sejarah Pulau Pinang. Mengikut sejarah, George Town ialah bandar pertama yang mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan pada tahun 1857, di mana tiga daripada lima orang pesuruhjaya perbandaran dipilih melalui proses tersebut. Selepas satu tempoh penggantungan, Pulau Pinang sekali lagi menjadi negeri yang pertama memilih sembilan daripada 15 pesuruhjaya perbandaran pada tahun 1951. Pada tahun 1956, Majlis Perbandaran George Town telah menjadi kerajaan tempatan yang pertama yang melaksanakan pemilihan sepenuhnya.

PLCEWAG juga menyeru Kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan proses pembuatan keputusan di Parlimen supaya membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan dapat dilaksanakan di negara kita.