PBT perlu ambilalih penyelenggaraan rumah pangsa untuk kurangkan beban penghuni

PBT perlu ambilalih penyelenggaraan rumah pangsa untuk kurangkan beban penghuni

SEMENYIH, SELANGOR – 24 FEBRUARI 2019: Penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah di kawasan Semenyih mengulang tuntutan mereka yang ditujukan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya mengurangkan beban penghuni rumah pangsa kos rendah dengan mengambilalih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah. Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini di rumah pangsa Bangi Jaya bersempena dengan Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN Semenyih.

Wakil daripada rumah pangsa Bangi Jaya, Sri Haneco, Bukit Semenyih dan Taman Sri Mawar telah meluahkan kekeluhan mereka terhadap masalah yang dihadapi mereka, khususnya kutipan bayaran penyelenggaraan yang membebankan dan masalah penyelenggaraan disebabkan kesukaran mengutip yuran penyelenggaraan.

Turut hadir dalam sidang akhbar hari ini ialah Nik Aziz Afiq (calon PSM untuk PRK Semenyih) dan S. Arutchelvan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang juga merupakan bekas calon pilihanraya PSM untuk Semenyih).

Menurut Rogaya dari Rumah Pangsa Bangi Jaya, badan pengurusan bersama (JMB) sebelum ini mengutip yuran penyelenggaraan RM 33 sebulan, tetapi selepas Majlis Perbandaran Kajang melantik satu ejen untuk mengambilalih penyelenggaraan dengan kutipan sebanyak RM 66 sebulan, tetapi penyelenggaraannya lebih teruk walaupun kutipan sudah berganda dan lebih membebankan penghuni.

S. Arutchelvan berkata, “masalah utama yang dihadapi oleh penghuni-penghuni rumah pangsa ialah pendapatan mereka yang sudah rendah menjadikan mereka dibebani oleh bayaran penyelenggaraan”

“Penduduk di rumah teres kos rendah hanya bayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah dan cukai taksiran. Penghuni rumah pangsa kos rendah pula perlu membayar yuran penyelenggaraan selain dua jenis cukai. . Walaupun Kerajaan Selangor mengecualikan cukai taksiran yang dibayar dua kali setahun untuk penghuni rumah kos rendah sejak tahun 2016 sesuatu yang baik, tetapi mereka masih mengalami kesukaran untuk membayar yuran penyelenggaraan yang dikutip berbulan-bulan dan kadarnya lebih tinggi. Penghuni-penghuni rumah kos rendah lebih rela membayar cukai taksiran dua kali setahun supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambilalih penyelenggaraan dan bayaran penyelenggaraan dihapuskan.”

Penduduk-penduduk rumah-rumah kos rendah terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Jadi, adalah tidak wajar untuk golongan ini dikenakan bayaran yang lebih tinggi dan tidak mendapat perkhidmatan yang diberikan kepada penduduk rumah teres kos rendah. Keadaan ini amat membebankan JMB di rumah-rumah kos rendah. Akibatnya keadaan di rumah kos rendah adalah rata-rata tidak terurus, kotor dan tidak sesuai untuk dihuni.   

g01.jpg

Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri-pangsapuri Kos Rendah Hulu Langat yang ditubuhkan oleh PSM Semenyih telah menyerahkan satu memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 14 April 2017 dengan tuntutan kepada pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka. Jawatankuasa Bertindak tersebut mewakili penduduk dari lebih 30 buah perumahan pangsapuri di kawasan Hulu Langat, termasuk Semenyih. Namun, sehingga sekarang, Kerajaan Negeri Selangor masih belum memberi apa-apa respon terhadap tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum tersebut.

52713816_321430565171070_6143441909332312064_n.jpg

Tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri-pangsapuri Kos Rendah Hulu Langat termasuk:

1. Penghuni rumah pangsa kos rendah hanya perlu membayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah (setahun sekali) dan cukai pintu ( 6 bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah.

  • Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah.
  • Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan rumah pangsa dan jalanraya dalam kawasan rumah pangsa.

2. Kutipan untuk bayaran bil bagi pengunaan lampu koridor rumah pangsa dan air yang digunakan secara bersama harus dimasukkan dalam bil eletrik dan air secara purata dalam bil masing-masing (semua penghuni).

3. Satu peruntukan tahunan seperti yang diterima Rukun Tetangga diberikan kepada JMB untuk membolehkan mereka melakukan aktiviti sosial dan kebajikan untuk semua penghuni rumah pangsa demi untuk mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu. JMB juga harus dibuka kepada semua penghuni termasuk mereka yang menyewa unit rumah, untuk membolehkan mereka memainkan peranan yang penting dan menyumbang kepada pembangunan rumah pangsa tersebut.

4. Setiap rumah pangsa kos rendah wajib mempunyai kawasan dewan serbaguna atau bilik aktiviti untuk masyarakat di mana dewan itu boleh diuruskan oleh JMB. Jika tiada, maka kerajaan perlu membina kemudahan tersebut.

5. Mewujudkan tempat perniagaan dan peluang perniagaan di kawasan rumah pangsa secara tersusun untuk membolehkan masyakarat di rumah pangsa tersebut terlibat dalam aktiviti mikro-ekonomi. Sewa boleh dibayar kepada JMB dan wang ini boleh digunakan untuk menyelenggarakan pejabat dan mengupah kakitangan sepenuh masa.

6. Insurans tahunan dan audit tahunan adalah terlalu tinggi dan pihak JMB tidak boleh membiayainya. Maka dicadangkan proses audit dilakukan melalui satu syarikat audit yang dilantik oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) dengan bayaran yuran yang terendah. Syarikat insurans juga diletak di bawah pengawasan COB agar perkhidmatan mereka adalah baik dengan bayaran yang munasabah.