Sistem belum ubah selepas 9 bulan perintah, pengundi muda mungkin alih sokongan

Sistem belum ubah selepas 9 bulan perintah, pengundi muda mungkin alih sokongan

Source: Free Malaysia Today

SHAH ALAM: Golongan pengundi muda berpotensi bertukar haluan atau sokongan parti politik kerana jaminan kerajaan untuk mengubah sistem belum terlaksana, kata calon Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Nik Aziz Afiq, 25, calon pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih berkata, masalah yang dihadapi negara perlu dibetulkan pada puncanya, iaitu sistem.

“Sudah 9 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah tetapi anak muda dan pengundi yang beri undi kepada PH tidak nampak sistem berubah,” katanya dalam satu forum hari ini.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizudin Mohd Sani berkata, mengubah sistem bukan sesuatu yang mudah dilakukan.

“Saya sendiri, sebagai pemerhati politik, lihat banyak perubahan yang hendak dilakukan seperti sistem pilihan raya dan isu dana politik,” katanya.

Jelasnya, kerajaan masih memerlukan sokongan 2/3 di Parlimen untuk merubah sesuatu dasar dan sistem dalam pemerintahan. Atas sebab itu, kerajaan mampu untuk mengubah beberapa elemen yang dibenarkan sahaja.

Sebelum ini, media melaporkan, jumlah pengundi muda bagi PRK Semenyih merangkumi 45% dengan selebihnya berumur 40 tahun ke atas.

Namun, kata Azizudin, 10% daripada 45% pengundi muda itu penentu kepada sentimen golongan muda pada pilihan raya itu.

Jelasnya, 10% itu anggaran pengundi muda yang keluar membuang undi Sabtu ini kerana dijangka peratus keluar mengundi akan jatuh.

“Tidak macam pilihan raya umum ke-14. Mungkin sebab banyak pengundi muda berada di luar kawasan, bekerja dan sebagainya,” katanya.