Memperkasakan Perlindungan Untuk Pekerja Ekonomi Gig

Memperkasakan Perlindungan Untuk Pekerja Ekonomi Gig

Covid-19 telah membongkarkan kerapuhan model ekonomi kita yang semakin merampas hak pekerja sambil menggunakan tenaga kerja pekerja semaksimanya. Ianya dicapai melalui sistem ‘pekerjaan’ yang beralih dari kerja formal ke kerja informal. Sebahagian dari format kerja ini dinamakan sebagai pekerjaan ekonomi ‘gig’. 

Ekonomi Gig adalah satu trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi atau pekerja untuk menjalani kontrak untuk khidmat, dan bukannya kontrak perkhidmatan tetap. Ianya seolah–olah pekerja sebagai kontraktor bebas yang membuat suatu perjanjian dengan majikan agar majikan menggunakan khidmatnya tanpa perlu menggajikan pekerja itu sepenuh masa. Walaupun nampaknya ianya memberikan fleksibiliti kepada pekerja, tetapi ianya merampas apajua perlindungan sosial yang wajar disediakan kepada seseorang pekerja. Contoh pekerja ekonomi Gig ialah para pekerja penghantaran yang dikenali sebagai P-Hailing. 

Pekerja p-hailing, walaupun memainkan peranan penting dalam memastikan sektor penyampaian makanan dan perkhidmatan berjalan selama pandemic, tetapi hak mereka sangat terabai. Pengenalan mereka sebagai ‘kontraktor bebas dan bukannya pekerja, memberikan  implikasi/Impak yang jelas yang menindas pekerja dan menguntungkan majikan syarikat platform digital tersebut.  

Masih ramai pekerja gig yang tidak dipelihara hak pekerjaan mereka sekiranya sesuatu kecemasan berlaku. Mereka terpaksa mengambil langkah persendirian melindungi hak mereka. 

Pekerja ekonomi gig tidak dilindungi oleh insurans syarikat dan mereka juga tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Tambahnya pula penyelenggaraan motorsikal, beg penghantaran makanan dan juga baju korporat syarikat ditanggung sendiri oleh pekerja.

Pendapatan pekerja pada awalnya walaupun nampak lumayan tetapi ianya sering mengelurikan. Sebagai contohnya salah satu syarikat penghantaran makanan yang popular ialah Foodpanda. Jadual baru Foodpanda yang dibuat pada 2019, tanpa berunding dengan penunggang, mengikat mereka pada hari kerja 14 jam tanpa upah yang sewajarnya. Penambahan pekerja baru tidak meringankan beban kerja malah ianya menyebabkan kadar bayaran servis yang lebih rendah. Ada yang kata sampai pendapatan mingguan mereka berkurangan sebanyak RM300 sejak jadual baru dilaksanakan. 

Penunggang Foodpanda juga ada mengadu bahawa mereka akan dikenakan digantung & dilarang daripada menghantar pesanan sekiranya mereka batalkan terlalu banyak pesanan. 

Foodpanda juga pernah mengeluarkan surat amaran yang mengancam akan memotong penunggang Pulau Pinang yang didapati mengambil bahagian dalam sebarang mogok. Ia merupakan suatu penafian jelas hak pekerja untuk mogok atau menubuhkan kesatuan.

Pekerja P Hailing Grabfood pula, mereka dapati perkhidmatan mereka digantung walaupun pesanan dibatalkan jika pelanggan diluar kawasan servis mereka. Ianya berlaku walaupun  khidmat nasihat pelanggan Grabfood dimaklumkan terlebih dahulu. Mereka menyangka akan dibenarkan membatalkan pesanan tersebut tanpa tindakan, tetapi pekerja masih digantung daripada menghantar pesanan, sekaligus mengurangkan pendapatan mereka. Eksploitasi pekerja menggunakan kekaburan algoritma, menunjukkan bahawa pekerja P-Hailing tidak mempunyai jaminan pendapatan sepertimana yang diperolehi oleh pekerja sektor formal. 

Banyak hak mereka yang dinafikan, tetapi undang-undang pula tidak menyebelahi mereka. Oleh kerana klasifikasi pekerja P Hailing sebagai kontraktor bebas, menjadikan status mereka kabur dan dikecualikan dari pelbagai hak nyata yang dijamin jika mereka adalah pekerja formal. 

Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan sumber negara digunakan sebaik nya untuk menjana keuntungan yang dapat disalurkan semula kepada rakyat, bukan nya mengaut keuntungan dari kesempitan rakyat demi keuntungan syarikat besar. Kerangka undang-undang mesti dikemaskini untuk memastikan mereka menikmati hak yang sama dengan pekerja-pekerja lain.

Maka PSM melalui Pelan Tindakan Nasional “Permintaan Rakyat Mudah Je” yang dilancarkan pada 9hb.Sept, 2021 yang lalu mencadangkan semua pekerja tersebut perlu mendapat perlindungan di bawah PERKESO dan KWSP. 

Kerajaan harus membawa undang-undang untuk memastikan syarikat gig ekonomi ini diwajibkan menyumbang PERKESO dan KWSP kepada pekerja mereka. PSM mendesak agar pekerja P-Hailing ini diberikan gaji minimum asas dengan penambahan komisyen mereka. Syarikat syarikat  perlu dipertanggungjawabkan patuh kepada syarat-syarat dalam perundangan buruh yang sedia ada. 

Kementerian Sumber Manusia juga harus memperkemaskan dan membuat pindaan terhadap undang-undang buruh selaras dengan perubahan trend alam kerja ini, iaitu daripada kerja formal di bawah majikan tetap kepada pekerja pemberi khidmat yang bebas di bawah ekonomi gig. Majikan dan penyedia platform perkhidmatan ini tidak boleh terlepas daripada menyediakan segala kemudahan dan bertanggungjawab ke atas pekerja yang memberikan khidmat tersebut. Mereka masih ialah pekerja yang harus dilindungi oleh undang-undang pekerjaan dalam negara.

Perundangan perburuhan harus dipinda agar memberikan perlindungan kepada pekerja ekonomi Gig ini. Pemecatan yang tidak sah seharusnya tidak dibenarkan dan mereka perlu diberikan hak untuk menubuhkan kesatuan dan berpiket untuk menyuarakan ketidak-adilan yang berlaku.  

Pekerja juga mesti diberikan hak untuk rundingan bersama. Ini memastikan mekanisme tawar-menawar secara beramai-ramai yang akan membolehkan pekerja menikmati hak yang sama tanpa mengira status mereka di sisi undang-undang, tanpa kira status hubungan pekerjaan, untuk melakukan perundingan secara berkesan secara kolektif dengan majikan.

A Sivarajan
Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia